Itu nasib dialami seorang peniaga di Teluk Bahang di sini selepas gerainya yang dijadikan tapak perniagaan kedai makan dan cuci kenderaan dirobohkan pihak berkuasa, semalam.

Lebih mengecewakan, tapak gerai milik Afzainizam Abdullah, 41, itu dirobohkan selepas hanya dua minggu notis pengosongan diterima dan meskipun selepas dia merayu supaya ditangguhkan sekurang-kurang­nya sehingga ke bulan depan.

Katanya, rayuan itu dibuat supaya dia dapat menyelamatkan sebahagian struktur binaan kedainya daripada dimusnahkan serta memberi peluang kepada­nya bertemu dan berbincang de­ngan pihak berkuasa sebelum tindakan perobohan diambil.

“Lebih daripada itu, saya juga berharap untuk bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang daripada PKR, Zolkifly Md. Lazim untuk berbincang mengenai isu ini.

“Tetapi malangnya, sehingga ke hari ini iaitu walaupun selepas gerai saya dirobohkan, tiada sebarang tindakan atau maklum balas diberikan wakil rakyat berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Afzainizam, dia mengakui gerai yang dibinanya itu tidak mempunyai kelulusan dan terletak di atas tanah rizab kerajaan namun dia sudah ber­usaha mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib pada 2012 dan 2014 tetapi gagal.

Dalam pada itu, dia turut mempersoal kesungguhan kerajaan negeri Pulau Pinang dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membela nasib peniaga dan orang Melayu khususnya di Teluk Bahang.

Ini kerana, katanya, dia difahamkan tiga lagi peniaga di kawasan itu akan menerima nasib sama apabila gerai dan kedai mereka bakal dirobohkan oleh pihak berkuasa hujung bulan ini atas alasan serupa.