Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya telah mengenal pasti punca utama kemalangan di negara ini adalah pemanduan yang melebihi had laju.

“Selama ini, saya memang berpendirian jika kita dapat pasang kamera AES dapat menyelesaikan masalah kemalangan maut ini.

“Langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk memasang kamera AES ini bagi saya ia adalah kaedah yang sesuai,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat MIROS, Kajang, dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan nota serah tugas kepada penggantinya, Datuk Suret Singh sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak.

Dalam sidang akhbar yang sama, Lam Thye yang meme­gang jawatan sebagai Pengerusi MIROS sejak 3 April 2015 memberitahu, beliau telah bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook secara sukarela baru-baru ini bagi menyatakan hasrat untuk tidak menyambung tugas tersebut.

“Saya tidak bercadang untuk dilantik semula sebagai Pengerusi MIROS kerana telah memegang jawatan ini selama enam tahun.

Jelas Lam Thye, beliau yakin dengan penggantinya, Suret yang akan memulakan tugas berkuat kuasa esok mampu menjalankan tanggungjawab di MIROS dengan lebih baik.

Sementara itu, Suret yang pernah menjadi Ketua Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berkata, fokus utama beliau selepas ini adalah mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari jalan penyelesaian mengurangkan kes kematian melibatkan penunggang motosikal bawah 150 cc.

“Langkah ini perlu disegerakan kerana bilangan kematian penunggang motosikal kapcai ini mencecah 4,000 setahun melibatkan mereka yang berusia 15 hingga 25 tahun. Saya agak emosional dengan isu ini kerana kebanyakan mangsa masih muda yang sepatutnya berkahwin dan menyumbang pada negara,” katanya.