Presiden Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zulkornain Yusop berkata, perkara itu menjadi penanda aras perkembangan ekonomi negara yang melibatkan tiga faktor utama iaitu perbelanjaan pengguna swasta, kepesatan pelaburan dan keupayaan kerajaan dalam mentadbir.

“Angka 6.2 peratus itu menunjukkan satu perkembangan yang sihat. Walaupun dunia amnya menghadapi masalah peningkatan harga barang dan sebagainya, hubungan yang jitu antara ketiga-tiga faktor ini menjadikan Malaysia antara negara yang merekodkan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di dunia pada tahun ini.

“Semestinya kita tidak boleh menjamin dan meramalkan kea­daan ekonomi di masa hadapan. Namun begitu, berdasarkan trend KDNK negara sebelum ini, saya merasakan negara mampu untuk mengekalkan momentum baik ini,” ujarnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kejayaan itu membuktikan pengurusan ekonomi negara berada di landasan yang betul.

Ia selaras dengan tuntutan Islam iaitu sentiasa meletakkan sasaran terbaik dan tertinggi di dalam semua urusan yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan bahawa, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan antara penyumbang jangka pendek yang dilihat mampu untuk terus menggalakkan perbelanjaan pengguna swasta.

“Perbelanjaan pengguna swasta te­lah­ meningkat untuk suku ketiga tahun ini kepada 7.2 peratus berbanding suku sebelumnya iaitu 7.1 peratus. Walaupun kenaikan ini sedikit, ia tetap memberikan kesan positif kerana keyakinan pengguna untuk berbelanja itu tetap meningkat.

“Ia disokong pula dengan pembentu­kan modal tetap ka­sar yang stabil pada kadar 6.7 peratus. Per­belanjaan keraja­an juga didapati turut me­ningkat berbanding suku sebe­lumnya dan ia akan memberikan pulangan yang lebih baik kepada pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau turut meramalkan bahawa melalui trend KDNK yang positif sehingga suku ketiga 2017, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus jitu sehingga ke ­akhir tahun dengan pertumbuhan KDNK paling minimum sekitar 5.5 peratus.