KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kumpulan pertama Batalion Malaysia (Malbatt) 850-6 yang berlepas bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) diminta menjaga akhlak, maruah dan disiplin ketika menjalankan tugas di luar negara.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga meminta setiap anggota terlibat agar komited dalam penugasan tersebut sekali gus menjulang martabat negara di peringkat antarabangsa.
“Jangan lakukan kesilapan-kesilapan peribadi yang boleh jejaskan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara.
“Nama Malaysia setakat ini begitu harum di peringkat antarabangsa terutamanya kepemimpinan dan disiplin ATM di luar negara dalam menyertai misi PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-6 di Balai Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Kumpulan pertama Malbatt 850-6 yang berlepas hari ini terdiri daripada seramai 215 orang daripada jumlah keseluruhan 850 anggota terlibat.
Sementara itu, Mohamad menegaskan, penglibatan ATM dalam misi antarabangsa merupakan bukti Malaysia komited melaksanakan tanggungjawab memberi bantuan kemanusiaan kepada negara memerlukan bagi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.
Beliau juga percaya, penglibatan ATM dalam melaksanakan misi di bawah panji PBB merupakan pengiktirafan dan kepercayaan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap kewibawaan serta profesionalisme ketumbukan tersebut.
“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab anggota Malbatt memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan angkatan tentera di persada antarabangsa,” jelas beliau.