REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Wisma Putra akan tetap menyuarakan pendirian tegas kerajaan dan aspirasi rakyat untuk terus menyokong perjua­ngan Palestin dengan berlandaskan prinsip serta undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, Kementerian Luar juga bersyukur dengan keputusan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hari ini yang menegaskan bahawa sebarang langkah menjejaskan status Baitulmuqaddis adalah terbatal.

“Melalui resolusi ES-10/19 yang diluluskan oleh Sidang Ter­gempar Khas UNGA Ke-10 Mengenai Palestin, semua negara telah diminta untuk menghentikan penubuhan kedutaan di Baitulmuqaddis.

“Malaysia bukan sa­haja salah satu daripada 128 negara yang mengundi menyokong resolusi tersebut, malah merupakan antara negara yang menaja usul berkenaan untuk dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Reezal Merican berkata, apa yang lebih pen­ting, Malaysia merupakan salah satu daripada 16 negara yang te­lah diberi peluang untuk berucap dan menyampaikan pendirian semasa sidang tergempar tersebut.

Beliau menambah, Si­dang Tergempar Khas UNGA Ke-10 Mengenai Palestin sebenarnya me­rupakan usul yang digerakkan oleh Malaysia sejak 1997.

“Ketika itu, kita telah mewujudkan meka­nis­me tersebut apabila melihat Majlis Keselamatan PBB tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk menghentikan penempatan haram Israel, termasuk di Baitulmuqaddis,” jelasnya.