Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, individu yang mendapat kewarganegaraan negara asing sama ada melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) boleh dilucutkan status kewarganegaraan di bawah Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia yang menuntut dan menggunakan suatu hak atau keistimewaan yang diberikan secara khusus kepada warganegara asing, seperti menggunakan hak undi bagi pemilihan politik, memohon pasport serta dokumen perjalanan negara asing, menggunakan pasport atau dokumen perjalanan negara asing pula boleh dilucutkan status kewarganegaraan mengikut Perkara 24(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, jika seseorang warganegara Malaysia melalui kuatkuasa undang-undang memperoleh kewarganegaraan negara asing, beliau tidak melakukan kesalahan di bawah Perkara 24(1) Perlembagaan, kerana beliau berhak terhadap kedua-dua kewarganegaraan tersebut.

“Bagaimanapun, dalam hal itu, beliau melakukan kesalahan di bawah Perkara 24(2) Perlembagaan jika beliau memohon atau menggunakan pasport serta dokumen perjalanan negara asing tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan mengenai ribuan rakyat Thailand mempunyai dua status kewarganegaraan sejak 1980-an hingga sekarang yang membolehkan mereka keluar masuk ke Malaysia tanpa sebarang sekatan dan pemeriksaan di sempadan.

Menurut laporan berkenaan, rakyat Thailand dipercayai memperoleh kad pengenalan diri Malaysia dengan mudah pada 30 tahun lalu, perkara itu menyebabkan jumlah mereka semakin bertambah kerana generasi bersambung ke anak, cucu dan cicit yang turut memiliki status warganegara Malaysia.

Mengulas mengenai dakwaan rakyat Thailand boleh mendapatkan kad pengenalan Malaysia dengan mudah pada 1980-an, Muhyiddin menafikan perkara tersebut kerana peruntukan undang-undang yang digunakan ketika itu adalah sama.

“Adakah pada 1980-an kerajaan ada membenarkan dua warganegara? Saya fikir tidak. Itu 1980-an, kita dah 20an (2019) apa nak tanya yang dulu? Ia ikut perlembagaan sejak dulu begitu,” katanya.-UTUSAN ONLINE