Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, melalui inisiatif itu, negara-negara eropah ketika ini mula menunjukkan sokongan yang positif kepada rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air.

“Platform seperti penganjuran forum, seminar dan juga persidangan di peringkat antarabangsa telah berjaya membangkitkan perkembangan positif dalan kalangan negara-negara eropah.

“Malaysia tidak terbabit menghantar pasukan bersenjata di Palestin, tetapi kita mainkan peranan menerusi kemanusiaan supaya rakyat Palestin dapat kembali ke tanah air mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar merasmikan Persidangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Asean Plus Mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa di sini hari ini.

Menurut Mohamad, pendekatan kemanusiaan kepada rakyat Palestin itu sama seperti yang dilakukan Malaysia dalam memperjuangkan hak masyarakat Rohingya kembali ke negara mereka.

“Malaysia akan terus memberi semangat kepada rakyat Palestin dengan memperluaskan usaha melobi di peringkat antarabangsa, khususnya kepada negara-negara besar dan berpengaruh.

“Usaha itu juga seiring dengan usaha berterusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sentiasa menggunakan pentas yang dihadirinya untuk bercakap mengenai hak rakyat Palestin,” katanya.

Selain itu katanya, usaha berterusan membantu rakyat Palestin juga telah menampakkan hasil apabila negara-negara eropah kini tidak lagi tunduk kepada desakan Amerika Syarikat (AS).

“Palestin tiada minyak, emas atau pun permata. Tetapi al-Quran beritahu bumi itu penuh dengan keberkatan, siapa yang mengawal tanah ini, menguasai dunia, sebab itu ada pihak yang ingin takluk,” katanya.-UTUSAN ONLINE