Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu turut dijadualkan menghadiri mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya daripada beberapa anggota EU termasuk dari Jerman, Hungary dan Belanda.

"Menteri Luar juga dijadualkan bertemu Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Federica Mogherini untuk membincangkan berhubung hal-hal dua hala Malaysia-EU termasuk pendekatan kesatuan itu yang akan menjejaskan industri minyak sawit Malaysia. 

"Semasa mesyuarat itu, Malaysia akan mengetengahkan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan industri kelapa sawit negara memenuhi standard kelestarian domestik dan antarabangsa yang berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Parlimen Norway baru-baru ini dilaporkan mengeluarkan arahan untuk mengehadkan dan menghentikan penggunaan minyak sawit secara berperingkat berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) Ke-22 itu turut akan mengkaji kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-EU (2018-2022) dan membincangkan hala tuju masa depan hubungan dialog ASEAN-EU.

Menteri-menteri terlibat juga jelasnya, akan membincangkan bidang-bidang keutamaan dalam konteks hubungan dialog ASEAN-EU.

"Selain itu, menteri-menteri akan membincangkan tentang kerjasama serantau dan antarabangsa dalam aspek keselamatan, perdagangan dan pelaburan, pengangkutan dan kesambungan, pendidikan, hak asasi manusia serta pembangunan mampan," katanya. - UTUSAN ONLINE