Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dibangkitkannya semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di sini semalam, sejajar dengan usaha Jepun untuk menarik lebih ramai pelancong asing khususnya di kalangan yang beragama Islam.

“Jika Malaysia menjadi penasihat halal melalui peranan yang dimainkan oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selama ini, kredibiliti sijil halal lebih mudah diterima oleh mana-mana pihak,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja tiga harinya ke negara matahari terbit.

Beliau berpendapat, peneka­nan dalam soal itu semakin penting memandangkan Jepun akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 yang akan me­nyaksikan kehadirian ratusan ribu orang termasuk peserta dalam kalangan umat Islam.

Sambil menyifatkan lawatan kali ini berjaya memberi pene­gasan betapa eratnya hubungan dua hala Malaysia-Jepun, Najib berkata, ia menjadi lebih bermakna apabila kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Sebagai contoh, kata Najib, penyerahan dua kapal peronda luar pantai oleh Jepun kepada APMM serta geran RM28 juta bagi tujuan menaik taraf aset itu adalah bukti komitmen kerjasama Jepun yang dizahirkan semasa beliau mela­kukan lawatan rasmi Mei tahun lepas bagi memastikan keselamatan serantau khususnya di Laut Cina Selatan.

Turut menarik minat Perdana Menteri adalah kerjasama di antara syarikat Jepun, IHI Corporation dengan Sime Darby dalam mela­kukan eksperimen ke atas sisa sawit bagi menjana tenaga dan menghasilkan baja ke arah me­ning­katkan hasil buah kelapa sawit.

Najib yakin usaha itu akan membawa berita baik kepada sektor tanaman kelapa sawit negara kerana ia akan lebih berdaya saing serta memberi nilai tambah yang jauh lebih tinggi kepada sektor itu.

Pada lawatan itu, penekanan juga diberikan terhadap peluang kepada pengusaha Jepun untuk melabur dalam bidang modal insan, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta teknologi skala tinggi.

Najib turut memberitahu, Abe juga menekankan betapa Jepun berminat untuk terlibat sama dalam projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan beliau telah mempelawa Jepun untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam bidaan kepada syarikat antarabangsa untuk membekalkan sistem itu yang akan dibuka suku keempat tahun depan.

Abe menjelaskan, Jepun mempunyai rekod terbaik lebih 50 tahun dalam perkhidmatan kereta api lajunya, kata Najib sambil menambah China juga berminat untuk terlibat sama dalam membekal sistem tersebut.

Najib berkata, beliau menjelaskan kepada Abe bahawa tender itu akan dibuat secara terbuka dan telus manakala penilaian oleh pakar antarabangsa berke­cuali akan diambil untuk menilai semua bidaan.

Beliau memberitahu, penilaian antara lain akan mengambil kira juga pakej pembiayaan dan bayaran balik serta kewangan yang boleh ditawarkan serta jaminan keselesaan penumpang.

Kata Najib, majlis menandatangani projek itu antara Malaysia dan Singapura akan dilakukan di Johor Bahru pada 5 Disember ini dan beliau bersama rakan sejawatan dari republik itu, Lee Hsien Loong akan menyaksikan majlis tersebut. – UTUSAN