Menteri Pertanian an Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, penghantaran pertama durian Musang King ke negara berkenaan dijangka pada Julai dan Ogos tahun ini membabitkan sembilan buah syarikat.

Menurutnya, buat permulaan, durian Musang King itu akan memasuki pasaran di Beijing dan Guangzhou.

“Jika sebelum ini kita hanya boleh eksport durian Musang King dalam bentuk pes dan ulas tapi negara China sudah membenarkan kita mengeksport durian itu dalam bentuk biji (whole fruit),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Larkin di sini hari ini.

Tambahnya, China menawarkan pasaran luas bagi pasaran buah durian di mana buat permulaan hanya satu peratus daripada 1.4 bilion rakyat negara itu dapat merasai kenikmatan Musang King sekali gus ia perlu direbut pemain industri tempatan.

Beliau berkata, dua siri lawatan kerja pada Ogos tahun lalu dan Mac tahun ini ternyata membuahkan hasil dengan susulan daripada itu, kerajaan China menghantar penguat kuasa mereka untuk membuat pemeriksaan di premis, kilang dan kebun yang dikenalpasti.

“Hasil pemeriksaan itu mendapat respon positif apabila kelulusan mengeksport durian Musang King yang biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun diberikan hanya dalam tempoh sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin mengingatkan kepada mereka yang terlibat supaya tidak menipu dan memastikan buah Musang King yang dieksport itu adalah asli serta mengikut standard yang ditetapkan. - UTUSAN ONLINE