Akhbar Singapura, The Straits Times dalam laporannya, menyifatkan rampasan dan pemindahan dana oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebagai “langkah yang tidak pernah berlaku dalam perbankan Malaysia”.

Menurut Straits Times, pada awal bulan ini, HSBC diarahkan untuk memindahkan wang dalam akaun bank China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Syarikat China tersebut ialah kontraktor utama bagi projek Saluran Paip Pelbagai Produk di Semenanjung sepanjang 660km berharga RM5.35 bilion, dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4.06 bilion. Kerajaan Pakatan Harapan sudah menggantung pelaksanaan kedua-dua projek itu.

Tahun lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, kerajaan cuba mendapatkan wang yang sudah dibayar kepada kontraktor TSGP.

“Kami ada dua pilihan — sama ada mendapatkan dana yang dibayar awal atau meneruskan projek itu,” katanya ketika itu. Hari ini, Straits Times melaporkan CPP mengesahkan dana itu sudah dipindahkan.

“CPP tegas mematuhi undang-undang Malaysia dan bingung dengan pemindahan wang sebelah pihak tanpa memaklumkan CPP,” kata syarikat itu.

HSBC bagaimanapun enggan mengulas.

Tahun lalu, kerajaan PH mempertikaikan kira-kira RM8.3 bilion atau 88% daripada nilai kontrak RM9.41 bilion, dibayar kerajaan terdahulu melalui Suria Strategic Resources. Pegawai berktaa, hanya 13% kerja selesai.

Menurut laporan itu, beberapa akaun bank CPP dibekukan apabila kerajaan menggantung 2 projek saluran paip itu.

Tahun lalu, laporan media mendakwa wang yang dibayar Suria Strategic Resources dialihkan ke syarikat pihak ke-3 di Cayman Island dikaitkan dengan skandal 1MDB. CPP bagaimanapun menafikan dakwaan itu. – UTUSAN ONLINE