Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usaha bagi menyelesaikan penjualan air ke Singapura yang masih tertangguh tetap menjadi keutamaan kepada Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, beliau dan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Leong bersetuju supaya isu berkenaan diselesaikan dalam semangat setia kawan.

“Ini termasuk kemungkinan penyelesaian melalui arbitrasi berasaskan kepada dasar yang dipersetujui bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Hsien Leong selepas Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selain air, isu-isu tertangguh lain membabitkan kedua-dua negara adalah sempadan maritim, ruang udara, projek kereta api dan kesesakan di Tambak Johor.

Sementara itu, Hsien Leong berkata, Singapura memahami kenapa isu berkenaan penting kepada Malaysia dan telah menjelaskan kepada Dr. Mahathir rundingan perlu berdasarkan dokumen asas yang dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, ia adalah terma asas yang menjadi rujukan sehingga kedua-dua negara mampu berunding dalam semangat kekeluargaan dalam konteks sebagai jiran dan ASEAN.

Perdana Menteri Singapura itu pada masa sama turut membangkitkan kekhuatiran beliau mengenai masalah pencemaran di Sungai Johor dan keupayaannya untuk terus membekalkan air sebanyak 250 juta gelen air mentah sehari seperti dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.

“Marilah kita mencari jalan yang membolehkan kita berbincang secara konstruktif dan berharap dapat mencapai penyelesaian,” katanya.

Hsien Leong bagaimanapun tidak menjawab soalan wartawan mengenai kadar munasabah air yang hendak dibayar oleh republik itu kepada Malaysia.

“Jangan tanya saya sekarang mengenai kadar yang munasabah kerana soalan itu adalah pra matang,” katanya.

Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Dalam dua siri pertemuan dengan kerajaan sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.

Kerajaan Malaysia mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011, tetapi negara itu menolak. - UTUSAN ONLINE