Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, minat itu dizahirkan oleh kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam isu-isu berkaitan perisikan keselamatan dan ajaran sesat, selain mengadakan dialog antara agama dan etnik.

"Kita warga serumpun dan kita juga merupakan negara yang sama pada suatu ketika dulu. Kita boleh bekerjasama untuk mengadakan dialog antara agama dan etnik. Kita tidak mahu mana-mana pihak yang terlalu ekstrem dan radikal di Malaysia.

"Apa yang kita perlukan adalah tolak ansur, aset negara terbesar yang perlu kita lindungi adalah keharmonian yang dikecapi. Kebanyakan rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan kita dalam menukar kerajaan dengan begitu aman. Keamanan ini yang perlu kita lindungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan selepas Wan Azizah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean, Selasa lalu di pejabatnya, di sini.

Tambah Wan Azizah lagi, fokus juga seharusnya diberikan kepada warga belia kerana mereka adalah penentu masa hadapan negara. - UTUSAN ONLINE