Perkara tersebut diyakini mampu dicapai berikutan kebanyakan karya seni negara menumpukan terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang positif dan Islamik sekali gus mampu mempengaruhi penonton untuk mengamalkan nilai tersebut.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Alam Sekitar (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd Fadzil Akhir berkata, Malaysia perlu mengetengahkan karya Islamik sendiri yang mampu menjadi peranan penting dalam menerapkan nilai Islam dalam kalangan masyarakat seterusnya dunia.

“Kita mempunyai banyak kelopongan dalam menjadi model terbaik dunia Islam dan salah satunya adalah dari aspek kesenian termasuklah lagu dan perfileman.

“Saya percaya industri muzik di negara kita bergerak dengan cepat dan para artis masa kini juga bijak dalam menghasilkan karya yang penuh nilai islamik dan kemanusiaan. Jadi, saya yakin, jika kelopongan ini berjaya diisi, kita mampu menjadi model terbaik dunia Islam kelak,” katanya ketika ditemui selepas menjadi panel pada Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) dengan tema Transformasi Kesejahteraan Ummah: Malaysia Model Terbaik? di Dewan Perdana, Universiti Zainal Abidin (Unisza) di sini hari ini.

Majlis Advokasi Ilmuwan MPN itu diadakan kali kedua dan merupakan anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia. - UTUSAN ONLINE