Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kerajaan juga menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang tahun 2020 berbanding 19,713 judul tahun lalu.

Beliau berkata, penerbitan buku telah digunakan oleh UNESCO sebagai satu daripada kriteria taraf negara maju dengan jumlah penerbitan ditetapkan sebanyak satu peratus bagi setiap juta penduduk.

Sehubungan tu katanya, untuk memastikan DMK mencapai keberhasilan yang dihasratkan, maka bermula tahun ini hingga 2020 pihak kementerian akan menggiatkan kempen DMK.

Ini kerana katanya, kempen atau program gerakan membaca yang sudah berlangsung sejak dua dekad lalu masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan penglibatan penggiat literasi juga masih tidak menyeluruh.

"Kita perlu merangka dan melaksanakan satu pendekatan baharu yang segar, lebih mantap serta agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca," katanya pada majlis pra pelancaran kempen DMK di Dewan Za'aba, Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Menurut Maszlee, kajian profil membaca rakyat Malaysia yang dilakukan Perpustakaan Negara Malaysia pada 2005 mendapati rakya Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun.

Bagaimanapun katanya, angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia, namun masih rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju.

Katanya, laporan `Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015' terbitanm UNESCO Institute for Statistic pula menunjukkan, kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah sebanyak 94.94 peratus.

"Namun, secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun. Jika dibandingkan dengan jumlah penduduk negara, kadar literasi rakyat negara ini masih jauh ketinggalan.

"Kita sedar bahawa perjalanan kita ini masih panjang dan memerlukan usaha yang berterusan. Kita perlu menggembleng tenaga dan berganding baharu, biar `lambat laga asalkan menang.' Maksudnya, biar lambat asalkan maksud kita tercapai," katanya. - UTUSAN ONLINE