MUHAMMAD FAIZ
MUHAMMAD FAIZ

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil Noor berkata, sehingga kini Malaysia masih mengimport kira-kira 20 peratus ikan dari luar negara.

"Bagi meningkatkan hasil tangkapan ikan antaranya dengan galakkan nelayan persisir pantai terlibat aktiviti menangkap ikan di laut dalam yang menjamin hasil lebih banyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Pengerusi LKIM Dengan Pemimpin Nelayan Peringkat Negeri Johor di Bandar Baru Kota Puteri, Masai, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Johor (Josfa), Datuk Mohamad Dolmat dan Pengerusi LKIM negeri, Noslan Setat.

Selain itu kata Muhammad Faiz, pihaknya mengalakkan penglibatan orang muda menjadi nelayan kerana golongan berkenaan yang menjadi nelayan masih berkurangan.

Beliau tidak mahu pada masa depan mereka yang menjadi nelayan terdiri di negara ini daripada warga asing disebabkan orang muda tidak berminat dalam bidang berkenaan.

Justeru bagi memastikan mereka berminat menjadi nelayan, kemungkinan pihaknya akan mengadakan pusat latihan untuk mereka dengan mempelbagai kerjasama dengan beberapa pihak.

"Menerusi aktiviti menangkap ikan di laut dalam mereka akan memperoleh hasil yang banyak dan pendapatan yang tinggi," katanya. - UTUSAN ONLINE