Kementerian Luar dalam kenyataan di sini berkata, Malaysia memuji tindakan pantas yang diambil pihak berkuasa Arab Saudi dalam memintas peluru ber­pandu tersebut.

Menurut kementerian itu, Malaysia menyokong teguh usaha negara berkenaan dalam mem­ban­teras perbuatan terkutuk ter­sebut yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan.

“Keamanan dan keselamatan Arab Saudi amat penting bagi kestabilan rantau Arab dan dunia Islam.

“Malaysia menggesa semua pi­hak yang terlibat dalam konflik di Yemen untuk mencari jalan penyelesaian yang aman menerusi inisiatif Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Resolusi 2216 (2015) oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata kenyataan itu.

Tambah kementerian berke­naan, Malaysia juga menggesa pihak luar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman di Yemen.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyi­fatkan serangan ber­kenaan jelas mem­buktikan bahawa tentera Houthi akan bertindak berterusan dalam mengancam kese­lamatan dan kestabilan negara tersebut.

Setiausaha Agungnya, Dr. Yousef A. Al Othaimeen berkata, serangan itu juga mengancam seluruh rantau Arab dengan menyasarkan kelompok awam.

Beliau bagaimanapun berkata, OIC tetap menyokong dan memberi sepenuh solidariti kepada kepemimpinan, kerajaan dan masyarakat Arab Saudi dalam mengambil pendekatan mengekang serangan demi menjamin keamanan dan kestabilan.