“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menu­tup Masjid Al-Aqsa dan menafikan hak umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat,” kata beliau dalam akaun Twitternya hari ini.

Menurut laporan berita, polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid itu.

Al Jazeera, saluran berita bebas negara Arab, melaporkan susulan insiden itu, polis Israel mengarahkan orang ramai beredar dari Masjid Al-Aqsa dan menutupnya kepada awam.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menyokong penegasan perdana menteri, menyatakan tindakan pihak berkuasa Israel itu merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan norma-norma kemanusiaan.

“Ini merupakan pertama kali sejak 1969 umat Islam di­la­rang menunaikan solat Jumaat dalam Masjidal-Aqsa,” menurutnya.

Kementerian Luar seterusnya menegaskan tindakan provokasi Israel itu merupakan pencabulan terhadap hak umat Islam untuk mengerjakan amal ibadat di tempat suci yang bebas daripada sebarang larangan dan kebebasan untuk beribadat yang merupakan hak yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, kementerian berkata, Malaysia mendesak Israel segera membuka semula Masjid Al-Aqsa untuk umat Islam dan menghentikan sebarang tindakan yang akan mengubah status quo tempat suci umat Islam itu.– BERNAMA