Kata beliau, keyakinan itu diluahkan hasil pemerhatiannya terhadap pelbagai program yang disusun oleh kerajaan untuk menggalakkan inovasi sains dan teknologi.

Jelasnya, kemampuan Malaysia menjadi 20 negara terbaik di dunia itu lebih awal bagaimanapun perlu mendapat komitmen yang sama oleh syarikat-syarikat swasta untuk bersama-sama me­labur untuk menghasilkan produk-produk inovasi tempatan.

“Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan melalui kementerian dan agensi, tetapi bagi memastikan sasaran untuk meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai pencapaian inovasi yang baik pihak swasta perlu mempamerkan ke­sungguhan yang sama.

“Saya yakin sekiranya semua pihak memberi kesungguhan, Malaysia mampu menjadi antara 20 negara terbaik di dunia lebih awal sebelum 2050,” katanya semasa merasmikan Pameran Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 (Nice 2017) yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan timbalannya, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tambah Ahmad Zahid, penekanan yang serius kepada inovasi penting bagi memastikan negara dapat menyaingi negara lain dan tidak ketinggalan di dalam persaingan antarabangsa.

“Kini munculnya syarikat per­khidmatan teksi yang tidak memiliki walaupun sebuah kenderaan teksi, muncul penyedia perkhidmatan hotel yang tidak mempunyai aset hotel dan semua ini berlaku hasil penekanan kepada inovasi dan Malaysia perlu menembusi kemajuan yang sama,” katanya.

Tambahnya, inovasi bukan setakat tertumpu kepada perniagaan semata-mata malah diperlukan dalam soal keselamatan.

“Aktiviti jenayah juga kini boleh dilakukan secara maya dan oleh itu pihak berkuasa juga perlu mempunyai kecanggihan teknologi dan bukan bergantung kepada bilangan anggota sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Wilfred berkata, penganjuran Nice 2017 penting untuk mempromosi dan menye­marakkan lagi semangat inovasi dalam kalangan masyarakat khususnya kepada golongan muda.

Beliau memberikan contoh bagaimana Korea Selatan dapat melahirkan banyak syarikat teknologi baharu hasil penekanan yang tinggi terhadap inovasi dan produk-produknya terjual ke seluruh pasaran dunia.