Perdana Menteri berkata, dengan membuat persiapan sewajarnya, 5G akan memberi lonjakan kepada setiap industri yang menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, industri seperti pembuatan yang menyumbang sebanyak 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dalam tempoh lima tahun lalu kekal penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan berharap ia dapat menarik pelaburan dalam bidang-bidang teknologi tinggi, aeroangkasa, kimia dan produk kimia, mesin, peranti perubatan, elektrik dan elektronik,” katanya ketika merasmikan Pameran 5G Malaysia di Kompleks Perpadanan Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.

Menurut Perdana Menteri, kira-kira 98.5 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah dalam sektor pembuatan.

Jelasnya, sektor pembuatan telah membolehkan Malaysia terus mencatat pertumbuhan, pada masa sama menarik pelaburan langsung asing. - UTUSAN ONLINE