Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkata, sebelum ini, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengeluarkan kenyataan menolak ICERD yang dilihat bukan satu keperluan kepada negara.

Sehubungan itu katanya, beliau hari ini mahu mengulangi pendirian sama dan berharap semua pihak tidak memanjangkan lagi isu ICERD memandangkan kerajaan belum menandatangani sebarang perjanjian berkaitan konvensyen terbabit.

“Kenyataan Timbalan Presiden baru-baru ini sudah jelas, ICERD bukan satu keperluan kepada negara kita kerana banyak lagi perkara perlu diberi keutamaan. Malaysia sendiripun selama ini merupakan sebuah negara yang aman-damai tanpa ICERD.

“Maka tidak perlu panjangkan lagi isu ini kerana kita memang tidak menerima ICERD dan kerajaan pun belum menandatangani perkara ini. Banyak lagi perkara berkaitan hak asasi manusia yang patut kita beri penekanan dan ICERD bukan salah satu daripadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan khas dengan Bersatu Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu negerk, Datuk Kamaruddin Md. Nor, di sini hari ini.

Ditanya tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Marzuki berkata, kerusi tersebut milik PKR dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada parti itu untuk menentukan calon yang bakal mewakili Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga yakin, PH mampu meneruskan rentak cemerlang iaitu memperoleh kemenangan dalam beberapa PRK terdahulu biarpun dicabar hebat parti pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Marzuki memberitahu Lembaga Disiplin parti di bawah kepimpinan yang baharu kini sedang menyemak fail-fail aduan mengenai salah laku ahli yang masih tertunda, terutama perbuatan sabotaj parti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE