Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, acara yang dilancarkan buat pertama kali pada malam ini adalah hasil kerjasama pihak SPRM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurutnya, acara puisi pada malam ini adalah bagi memberi pendekatan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

"Usaha ini adalah rentetan daripada teater Bahara Emas berkisarkan rasuah yang dipentaskan baru-baru ini dan SPRM juga akan menerbitkan satu drama bersiri bertajuk 'Banteras' awal tahun hadapan.

"Kita mahu mesej anti rasuah disampaikan dalam pelbagai ruang supaya masyarakat sedar betapa pentingnya memerangi gejala rasuah dan kita berharap rakyat bersama-sama menyatakan sokongan kepada SPRM demi mewujudkan negara yang bebas rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malam Puisi Rasuah SPRM-DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, di sini malam ini.

Dalam majlis tersebut, Dzulkifli turut mendeklamasikan sebuah puisi hasil nukilan Syed Indrera Syed Omar atau Siso dari kumpulan Kopratasa yang bertajuk Jangan Nangis Dulu Bangsaku.'

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.-UTUSAN ONLINE