Menurut Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin, pusat berkenaan menempatkan seorang pengurus serta dua penolong, dua orang Pembimbing Ibadat Haji, tiga petugas bangunan dan petugas perubatan yang akan menjadi barisan hadapan menyantuni dhu­yufurrahman.

“Setakat ini, persiapan untuk sektor Mekah sudah siap dengan 180 petugas haji telah berada di sini. Para jemaah boleh mendapatkan bantuan serta maklumat mengenai ibadat haji serta pergerakan masing-masing di pusat berkenaan,” katanya di sini.

Menurut beliau, kebajikan jemaah menjadi keutamaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji)di Mekah termasuk dalam aspek penginapan.

Beliau memberitahu, pembahagian maktab di Mekah adalah mengikut zon iaitu Zon A (tiga maktab), Zon B (empat maktab), Zon C (dua maktab) dan Zon D (tiga maktab) dengan zon terbesar adalah Abraj Al Jindiriyah yang boleh menempatkan sehingga 6,000 jemaah.

“Di Mekah penginapan jemaah kesemua­nya bertaraf bangunan kediaman iaitu apartmen, bukannya hotel seperti di Madinah. Setiap jemaah berkongsi bilik antara tiga hingga tujuh orang dan mereka diberi katil berasingan.

“Sajian diberikan dua kali sehari iaitu makan tengah hari dan malam, manakala bekalan kopi dan teh disediakan untuk mereka membuat minuman,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi 483 jemaah kumpulan pertama yang memasuki Mekah pada Ahad ini, mereka akan dibawa mengerjakan umrah pertama secara berkumpulan.

“Mereka dijangka tiba pada pu­kul 11 malam dan disambut de­ngan jamuan. Selepas berehat di bilik masing-masing, mereka akan dibawa mengerjakan umrah pertama selepas subuh keesokannya.

“Mereka akan dikumpulkan mengikut penerbangan masing-masing dan dibawa mengerjakan umrah secara berperingkat dengan dipandu oleh muasasah,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun ini perkhidmatan baharu disediakan bagi umrah pertama jemaah iaitu tali penyandang (lanyard) tambahan untuk memudahkan petugas mengesan mereka.

Beliau menyarankan jemaah mengikuti setiap ceramah dianjurkan di maktab sebagai ulangkaji mengenai ibadat haji dan menumpukan perhatian terhadap ibadat.

“Jemaah haji juga diminta meningkatkan disiplin dan me­ngekalkan reputasi baik mereka dengan mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi termasuk menjauhi tempat sesak dan tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan.” katanya.