Pertama, lagu ini mengajar kita supaya berfikir seperti ibu dan bapa. Apa yang kita lakukan hari ini, fikirkan kesannya kepada generasi akan datang.

Kedua, ia memberi amaran kepada kita supaya tidak meletakkan untung nasib kehidupan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja. Merdekalah daripada kebergantungan, begitu mesejnya.

Hari ini, menjelang dua minggu sebelum kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-62, eloklah kita dengar semula lagu ini.

Harus diakui, sambutan kemerdekaan tahun ini terasa hambar. Masih belum dapat dirasakan kehangatannya. Rakyat bersikap dingin terhadap hari istimewa negara sendiri. Mengapa?

Penulis juga ada terbaca dalam Facebook, seorang lelaki ini tidak lagi mahu mengibarkan bendera Malaysia di halaman rumahnya kerana kerajaan hari ini bukan lagi UMNO.

Bendera
 

Aduh, mengapa sampai begitu? Adakah kerana rakyat kita ini terlalu asyik dan khayal berpolitik, sehingga berfikir sedemikian rupa?

Politik kita memang dalam keadaan celaru sekarang, tetapi itu bukan alasan untuk kita pudarkan rasa cinta akan negara.

Rukun kedua yang menjadi panduan kita bernegara menyuruh setia kepada Raja dan Negara, bukan parti politik. Tidak kiralah parti mana yang jadi kerajaan, negara kita tetap Malaysia.

Cukup-cukuplah menekap muka kita pada kaki parti politik. Semua ‘dalang wayang’ dan ‘tukang karut’ itu bukan ‘tuhan-tuhan’ yang patut kita sembah.

Inilah yang patut kita lakukan dalam bulan kemerdekaan ini, seperti yang dinasihat M. Nasir melalu lagu Anak-Anak Kita.

Merdekakan diri dari fahaman sempit politik partisan. Mula berfikir sebagai seorang ‘warganegara’, bukan ‘wargapolitik’.

Sambutlah bulan kemerdekaan kita dengan penuh rasa cinta kepada Malaysia. Pedulilah siapa pun yang menjadi kerajaan. Parti-parti politik itu hanya layak menerima undi, bukan kesetiaan membuta tuli rakyat sebuah negara yang merdeka.

Merdekalah daripada menjadi hamba kepada ‘orde baharu, politikus usang’ itu!

-habis-