Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, pihaknya mengesan satu paparan di Facebook kononnya berlaku kejadian culik di kawasan tersebut kira-kira pukul 3 petang semalam.

"Sebuah kereta didakwa berlegar-legar di kampung berkenaan sebelum menculik seorang kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, pihaknya kemudian mengarahkan kereta peronda polis (MPV) dan anggota Balai Polis Naka ke kampung itu untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Kita berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua lelaki berusia 20-an di Naka seperti yang ditularkan di Facebook.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu adalah pekerja sebuah syarikat telekomunikasi yang menjalankan kerja-kerja pembaikan di kawasan tersebut," ujarnya.

Menurut Noh, kereta yang digunakan juga didapati milik syarikat telekomunikasi terlibat.

"Sehubungan itu, kita mengesahkan bahawa maklumat yang disebarkan di Facebook itu adalah palsu," jelasnya.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak pasti atau palsu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dan keadaan kelam kabut dalam kalangan masyarakat.

"Mereka yang menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tambahnya. - UTUSAN ONLINE