Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, Dr. Mahathir semasa memegang jawatan Menteri Pelajaran pernah menyediakan Penyata Mahathir 1979 yang bertujuan mengkaji matlamat dan keberkesanan sistem pendidikan negara berasaskan Dasar Pendi­dikan Kebangsaan.

Jelasnya, penyata tersebut turut diwujudkan dengan objektif untuk mencapai perpaduan negara dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Dr. Mahathir tentunya amat menge­tahui kepentingan mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Jadi maklum ba­lasnya berkaitan UEC amat dinantikan kera­na sijil itu jelas tidak selari dengan sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

“Sekiranya kerajaan mahu mengiktiraf UEC, perlulah dijelaskan terlebih dahulu bagaimana sijil itu yang menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantarnya dapat menggalakkan perpaduan serta bagaimana bahasa Melayu dapat didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan. Saya menunggu juga penjelasan dan maklum balas kerajaan termasuk Perdana Menteri berkaitan hal ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penyata Mahathir 1979 merupakan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1979. Laporan ini diwujudkan selepas kajian selama enam tahun yang dike­tuai oleh beliau ketika memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Sementara itu, tambah Abdul Rahman, sebagai ketua pentadbiran negara dan ketua yang menentukan dasar dan portfolio pasti kenyataannya berhubung UEC ditunggu-tunggu banyak pihak.

“Dr. Mahathir belum lagi membuat komen mengenai isu UEC ini, jadi penjelasannya dinantikan adakah sama ada pengiktirafan UEC ini telah pun dipersetujui ataupun masih lagi dalam pertimbangan.

“Jika mahu diiktiraf juga bagaimana bentuk penyesuaiannya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta mengukuhkan perpaduan rakyat. Dalam Kabinet kerajaan ketika ini hanya Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menjadi Menteri Pendidikan, jadi pandangannya berhubung UEC adalah dinantikan,” katanya.