Inisiatif tersebut merupakan maklum balas kerajaan terhadap saranan beberapa wakil negeri semasa sesi perbahasan usul eko­nomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 semalam yang telah mengetengahkan permasalahan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin ber­kata, penubuhan majlis itu mendapat persetujuan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti dicadangkan oleh wakil UMNO Sabah, Jamawi Jaafar, semalam.

“Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kos Sara Hidup bukan sahaja bersetuju, bahkan mengarahkan saya supaya setiap faktor penyumbang inflasi seperti perumahan, pengangkutan, uti­liti dan makanan serta minuman diberi fokus dalam perbincangan majlis tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberitahu, Najib turut bersetuju agar diwujudkan Program Jualan Rak­yat di seluruh negara yang akan di­gerakkan oleh para pemimpin UMNO di peringkat bahagian.

Katanya, inisiatif ini bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

Menurutnya, program tersebut akan dijayakan oleh UMNO dalam menangani persepsi negatif yang dibangkitkan oleh pembangkang.

“Kita akan sama-sama turun ke bawah melakukan program ini pada tiap-tiap bulan supaya rakyat dapat menikmati segala apa yang diperjuangkan untuk memberikan keselesaan dan ke­sejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Jelas Hamzah, kerajaan mene­rusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama agensi­- agen­sinya akan memerangi orang tengah yang tamak dan ra­kus bagi memastikan harga barangan se­perti ikan, ayam, sayur dan daging terkawal.

Beliau seterusnya menyatakan tekad dan janji untuk mempergiatkan penguatkuasaan serta memastikan tindakan tegas kepada mereka yang melakukan kesalahan.

Hamzah berkata, kementeriannya akan membuat pindaan bagi memperkukuh Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan menambah elemen-elemen yang membolehkan pi­haknya memerangi mereka yang menaikkan harga sewenang-we­nangnya.

“Kementerian Pertanian dan In­dustri Asas Tani juga akan me­laksanakan Program Stok Bekalan Makanan, Program Jualan Ikan Segar Beku (Q-Fish), Program Jualan Ikan Segar, Program Pe­ngukuhan Bekalan Ladang Kontrak (Kukuh) serta Program Pertanian Bandar,” katanya.

Inisiatif-inisiatif berkenaan ada­lah bagi menjamin bekalan makanan yang konsisten dengan harga kompetitif dan mengurangkan bebanan rakyat, jelasnya.