Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pelbagai pihak juga perlu melihat dari sudut pandang yang positif berhubung penubuhan majlis itu.

“Ia membantu kerajaan sedia ada mendapatkan pandangan-pandangan mereka yang layak untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Sebenarnya, ia menunjukkan kerajaan prihatin dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Mara Semenyih, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kritikan penasihat khas media dan komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang menyifatkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi semalam mempunyai makna tersirat.

A. Kadir berkata, penubuhan majlis itu secara langsung mengakui bahawa jentera sedia ada, khususnya Kabinet tidak memadai bagi menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.

Menurut A. Kadir, realitinya selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat.

Kerajaan semalam mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang akan bertindak untuk meneliti serta membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Majlis itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  terdiri daripada 16 ahli merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin industri.-UTUSAN ONLINE