Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, mereka sepatutnya lebih tahu bahawa OSF merupakan satu organisasi yang bertujuan mengubah masyarakat dan mempunyai agenda meme­cahbelahkan institusi negara sa­sa­ran seperti Malaysia melalui penyaluran dana-dana itu.

“Apabila mereka memberi kenyataan begitu, seolah-olah mereka memandang ringan terhadap nasib negara dan tiada langsung semangat untuk mempertahankan maruah negara daripada campur tangan asing asalkan agenda politik mereka dibiayai.

“Mana boleh mereka kata me­reka tidak kisah terima dana daripada organisasi seperti itu, di mana sikap mereka sebagai rakyat negara yang sayangkan negara mereka?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Belia Menentang Keganasan di sini hari ini.

Menurut laporan media, satu kumpulan asing dipengerusikan Soros iaitu OSF membiayai bebe­rapa organisasi tempatan da­lam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Perkara tersebut terbongkar apa­bila sekumpulan aktivis penggodam yang dikenali sebagai DC Leaks, berjaya menggodam dokumen-dokumen OSF milik hartawan itu dan yang dikaitkan menerima pembiayaan tersebut adalah Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini.

Pagi ini, Majlis Peguam berkata, pertubuhan itu tidak kisah walaupun menerima dana daripada OSF.

Tambah Khairy, dana yang diterima oleh mana-mana pihak daripada OSF tidak boleh disamakan dengan dana politik daripada kerajaan Arab Saudi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, dana berjumlah RM2.6 bilion daripada kerajaan Arab Saudi itu bertujuan membanteras penularan pengaruh pergerakan keganasan dan dengan jelas diberikan tanpa syarat seperti kenyataan yang dikeluarkan mereka, berbeza dengan dana daripada OSF.

“Dana OSF yang ada kaitan dengan George Soros jelas mempunyai agenda tertentu, salah satunya untuk mengubah nilai masyarakat dalam negara sasaran mereka.

“Penerima dana OSF harus melakukan perkara tertentu dan anjurkan program tertentu dalam usaha mereka untuk merealisasikan agenda mereka di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai­ry menyatakan bahawa Pemuda UMNO tidak terlibat dengan demonstrasi kumpulan baju merah yang berhimpun di hadapan pejabat Malaysiakini bagi mendesak portal itu ditutup semalam.

“Sebagai institusi Pemuda UMNO, kita tidak terlibat. Tetapi jika ada yang menyertainya sebagai individu, itu saya tidak tahu,” jelasnya.