Naib Presiden 1 majlis tersebut, Datuk Razali Daud berkata, program-program yang diadakan untuk membantu golongan miskin dan asnaf adalah di atas keprihatinan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku penaung Majlis JP.

Beliau berkata, antara aktiviti utama pihaknya adalah turun padang untuk melakukan kerja-kerja amal.

“Baginda amat prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat dan menitahkan kepada Majlis JP supaya turun padang untuk membantu golongan miskin atau yang ditimpa bencana.

“Kita bukan hanya membantu orang Melayu dan Islam tetapi semua golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum serta agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sempena Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Golok di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden II Majlis JP, Datuk Wan Azlan Wan Othman dan Setiausahanya, Datuk Ridhuan Junoh.

Pada program tersebut, Razali dan Wan Azlan menyampaikan sumbangan kepada 124 penduduk berketurunan Cina untuk menyambut Tahun Baharu tidak lama lagi.

Razali berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan pelbagai program untuk masyarakat bukan Islam.

“Setiap kali hari perayaan, kita tidak tumpu kepada Melayu dan Islam sahaja.

“Sebelum ini, kita mengadakan program membantu masyarakat India di Kuala Krai untuk menyambut Thaipusam malah kita turut membantu penduduk Orang Asli di Pos Handrop pada tahun lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE