Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah antara yang sedang diperbincangkan ialah cadangan penubuhan sebuah ‘Pusat Kecemerlangan Untuk Asnaf Negeri Perlis’ projek pembangunan asnaf dalam sektor perladangan, akuakultur, tekno bazar dan ‘Digital Marketing’ serta konsep ‘Buddy’ bersama dengan pihak universiti yang memiliki pelbagai kepakaran untuk membantu bagi membimbing usahawan asnaf terpilih ke tahap yang lebih tinggi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat ke ‘Program Kayuhan Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP Bersama Tuanku Canselor 2019’ yang bermula dan berakhir di perkarangan SMK Abi, dekat Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Naib Canselor, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Izmi Ismail.

Program berkenaan yang disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli kali ke-5 bagi tahun 2019’ dan ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ peringkat SMK Abi, SK Abi dan SK Padang Melangit itu mendapat kerjasama penuh daripada pihak MAIPs dan JPN Perlis.

Di program tersebut, pihak SMK Abi turut menyerahkan ‘Kertas Konsep Transformasi Maklumat Komputer SMK Abi’ kepada pihak pengurusan UniMAP untuk dipertimbangkan.

Selepas perlepasan kayuhan, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor universiti berkenan menyertai ‘Program Ramah Mesra Ketua Jabatan Wanita UniMAP bersama dengan anak-anak yatim’ yang diadakan di Kompleks Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Mak Teh, Kangar. - UTUSAN ONLINE