MOHD. NORHIESAM ISMAIL
MOHD. NORHIESAM ISMAIL 

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, perkara itu bagi mengelakkan penyerahan zakat oleh pemimpin bukan Islam tidak terus menjadi fitnah dalam masyarakat apatah lagi bukan kali pertama berlaku di negeri ini.

Menurut beliau, tindakan pemimpin bukan Islam yang menyerahkan bantuan zakat yang kemudiannya dimuat naik di dalam media sosial bagi tujuan kelebihan politik jelas menunjukkan sikap tidak peka dan sensitif terhadap agama Islam.

“Sumbangan tersebut adalah daripada sumber zakat orang Islam yang dibayar, diurus dan penerimanya juga adalah orang Islam.

“Sepatutnya pemimpin bukan Islam perlu lebih peka dengan perkara ini kerana ini adalah urusan orang Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Norhiesam, perlu diketahui sumbangan itu adalah hasil pungutan zakat umat Islam tanpa mengira latar belakang, bukannya peruntukan politik atau daripada Kerajaan Persekutuan atau negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap isu tersebut tidak dijadikan agenda pemimpin DAP untuk mencampuri hal ehwal umat Islam di negeri ini.

“Kita ingin menegaskan duit zakat adalah hasil ibadat orang Islam, maka orang bukan Islam tidak perlu masuk campur dan biarlah orang Islam yang mengurus dan menyampaikan kepada asnaf yang layak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan mengapa pemimpin bukan Islam itu tidak menggunakan peruntukan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekiranya benar-benar mahu menyumbang kepada rakyat.

“Hakikatnya kita menerima banyak rungutan daripada pengurusan masjid dan surau yang mana sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, sumbangan daripada ADUN atau Ahli Parlimen tidak seperti dulu untuk mereka menghidupkan pelbagai aktiviti di bulan yang mulia ini bagi umat Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE