Pengerusi MAIM Kelantan, Dr Mohamad Hamzah berkata, sebagai sebuah badan gabungan yang mengkordinasi gerak kerja badan bukan kerajaan (NGO) Islam, pihaknya akan menggembeleng segala kepakaran dan kekuatan menghadapi isu seperti penagihan dadah, air ketum dan pembuangan bayi.

Beliau berkata, terdapat lebih 50 NGO Islam kini bergabung di bawah MAIM Kelantan dan pihaknya berharap lebih banyak lagi akan tampil.

“Kami bertindak sebagai fasilitator kepada seluruh NGO Islam yang mempunyai pelbagai fokus, kita bukan mahu cari perbezaan atau pergeseran tetapi kesamaan supaya kita boleh bergerak ke depan.

“Tumpuan kita di Kelantan adalah masalah sosial remaja, kita perlu gabungkan kepelbagaian fungsi dan kepakaran untuk mengatasinya khusus dalam tempoh dua tahun ini, selain itu isu kemiskinan juga akan menjadi tumpuan kita,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat kedua MAIM Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MAIM negeri, Kamaruddin Deraman dan Setiausaha MAIM negeri, Mahadi Awang.

Pada mesyuarat itu, pelantikan ahli jawatankuasa tertinggi turut dibuat bagi mengetuai tujuh kluster gerak kerja iaitu kluster perpaduan ummah dan siasah; hak asasi manusia dan undang-undang; ekonomi dan kepenggunaan; pendidikan; akidah dan syariah; wanita dan kekeluargaan serta sosial.

Penubuhan MAIM di setiap negeri sejak 2005 adalah salah satu inisiatif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertujuan memupuk kerjasama pintar antara kalangan NGO Islam. - UTUSAN ONLINE