Timbalan Yang Dipertuanya, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, tiada yang dapat menghalang pihaknya berbuat demikian walaupun ada yang tidak suka dengan perkara itu.

Beliau berkata, kerja dakwah itu adalah amalan baik dan tiada paksaan kepada seseorang individu untuk memeluk agama itu.

“Tidak ada paksaan dalam agama. Kita hanya menyampaikan berita gembira dan kalau orang terima, itu adalah hidayah Allah.

“Setiap manusia tak kira bangsa dan agama ini nalurinya sama, kita nak ke arah kebaikan. Jadi apabila seseorang atau organisasi membuat kebaikan sepatutnya disokong dan bukan ditentang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Aring 5, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak terhadap Maik berikutan kenyataan yang dikeluarkannya baru-baru ini mengenai sasaran mengislamkan Orang Asli di negeri ini dalam tempoh 30 tahun lagi.

Dalam program itu, Nik Mohd. Azlan turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada lapan keluarga Orang Asli suku kaum Bateq Kampung Kuala Koh yang kehilangan 15 orang ahli keluarga akibat krisis kesihatan baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin dan Ketua Pegawai Agama Maik, Murtadha Abdullah.

Tambah Nik Mohd. Azlan, halangan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sejak berpuluh tahun lalu Orang Asli memeluk Islam dengan kerelaan hati sendiri selepas menerima hidayah Allah.

Katanya, ketika ini juga terdapat 60 orang guru agama Maik dalam kalangan Orang Asli serta mereka yang sudah memeluk Islam juga diberi pelbagai bimbingan tentang ilmu keagamaan.

“Guru agama Orang Asli turut berperanan menjaga penduduk kampung terutama mereka yang sudah memeluk Islam.

“Sepatutnya Maik disokong kerana menyampaikan berita keselamatan kerana Islam ini adalah selamat,” katanya. - UTUSAN ONLINE