Malah Timbalan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Kedah, Mejar Anuar Abdul Hamid berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dari PKR itu perlu berpegang kepada perjanjian Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berkaitan semua parti yang diagihkan negeri untuk dipimpin antara parti dalam pakatan itu.

“Telah pun disepakati bahawa Kedah, Perlis, Perak dan Johor diberikan pada Bersatu, manakala PKR diberikan Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak diserahkan kepada DAP, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) diberikan Kelantan, Terengganu dan Melaka.

“Perjanjian ini telah termeterai. Kenapa dengan tiba-tiba Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga ADUN Gurun mahu merampas kerusi Menteri Besar Kedah dari Bersatu? Tidak wajar beliau membuat kenyataan demikian,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Johari hari ini tentang keinginannya untuk melepaskan kerusi Parlimen Sungai Petani yang disandangnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memimpin kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

Anuar beranggapan, kenyataan Johari itu mengambarkan terdapat gerakan untuk menyegerakan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, maka akan berlaku rombakan Menteri Besar dan Exco dalam Kerajaan PH Kedah.

“Johari Abdul selaku Ahli Parlimen Sungai Petani yang menawarkan kerusinya kapada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi imbuhan dengan melantik beliau sebagai Menteri Besar Kedah, “ katanya.

Jelasnya, agak mengejutkan apabila Johari mengatakan beliau boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan di Kedah.

“Apakah yang menakjubkan itu? Kedah bukan negeri kaya seperti Selangor atau Pulau Pinang. Untuk bercakap memang mudah tetapi untuk laksana, amat sukar.

“Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semasa dilantik kali pertama sebagai Menteri Besar pada tahun 2013 membuat rancangan yang rapi untuk membangun Negeri Kedah tapi malangnya beliau dipecat setelah dua tahun di jawatan itu,” katanya.

Katanya, parti itu berharap Johari tidak akan mengambil kesempatan daripada pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan nanti seperti yang disepakati oleh pimpinan PH untuk kepentingan peribadi tanpa mengendahkan sama sekali sentimen rakyat dan rakan-rakan dalam pakatan itu.

“Hentikan polemik ini terutama semasa musim pertandingan dalam PKR. Ia tidak akan menguntungkan PH,” katanya. - UTUSAN ONLINE