Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, setakat ini pengoperasian mahkamah tersebut berada di peringkat penilaian terakhir dengan satu kertas Kabinet dijadual dibe­n­tangkan bulan depan.

Jelas Mujahid, pihaknya telah mendapatkan maklumat dan pandangan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewa­ngan dalam melengkapkan kajian terhadap pengoperasian tersebut.

“Kertas Kabinet ini antara lain akan memberi kuasa undang-undang kepada mahkamah khas syariah ini menyita harta suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

“Kita komited menubuhkan mahkamah ini kerana hampir semua lelaki tidak mematuhi perintah mahkamah membayar nafkah kepada bekas isteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 di sini hari ini.

Menurut Mujahid, inisiatif penubuhan mahkamah khas itu dirancang bagi mempercepatkan penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, selain membantu mengurangkan kes isteri tergantung tidak bertali.

Sementara itu, Mujahid berkata, tiga teras utama gagasan pentadbiran Islam di bawah kerajaan baharu iaitu Rahmatan Lil Alamiin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.