Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain GPN yang meningkat sebanyak 0.15, pencapaian mata pelajaran juga mencapai prestasi yang baik terutama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik.

“Selain itu, saya juga ber­puas hati dengan peningkatan bagi mata pelajaran sains se­perti Matematik, Fizik, Kimia dan Sains Tambahan walaupun subjek Biologi berlaku sedikit penurunan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan 12 pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Ahmad dalam kunju­ngannya ke rumah salah seorang calon SPM di Kampung Baru di sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir yang ju­ga Ahli Parlimen Padang Terap hadir pada majlis pengumuman keputusan SPM 2017 di SMK Dato’ Syed Ahmad.

Seramai 443,883 calon menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu di 3,363 pusat pe­periksaan seluruh negara.

Salah seorang pelajar cemerlang, Muhammad Ammar Hassan, 18, berkata, dia melakukan ulang kaji secara berkumpulan pada setiap malam bersama empat rakannya.

“Saya pasti akan bantu kawan-kawan saya ini jika mereka menghadapi masalah untuk memahami apa yang diajar guru semasa di dalam kelas. Ini kerana saya percaya saya akan mendapat lebih banyak ilmu dengan cara berkongsi ilmu yang saya tahu dengan rakan-rakan,” katanya.