Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, masyarakat kini banyak dihidangkan dengan imej negatif yang tular dalam Facebook, Instagram dan Twitter sehingga memberi kesan buruk kepada semua pihak.

“Hari ini banyak berlaku buli dalam media sosial yang bukan sahaja melibatkan kanak-kanak atau mahasiswa, malah golongan lebih berumur seperti ‘cybertroopers’ yang menyebar berita palsu, penipuan dan fitnah yang guna kata-kata kesat terhadap pemimpin negara.

“Mereka tidak segan silu mengeluarkan kata-kata lucah dalam komen sehinggakan generasi muda atau kanak-kanak yang membaca merasakan itu perkara normal,” katanya pada Majlis Minggu Haluan Siswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Wahid Razzaly dan barisan pengurusan universiti berkenaan.

Sehubungan itu, Maszlee mahu golongan mahasiswa atau rakyat amnya memerangi buli siber berkenaan dengan memperbanyakkqn unsur positif menerusi penularan perkara-perkara baik yang membina nilai kemanusiaaan dan negara.

“Kita ketandusan bahan-bahan yang membawa imej positif, kalau ada pun ia datang dari luar seperti budaya bersih orang Jepun. Kita bangga tular sikap baik mereka walhal di negara kita juga banyak perlakuan baik. Jadi, siswa siswi kena berperanan sebagai ejen kebaikan,” katanya.

Sementara itu, seramai 2,469 mahasiswa baharu diterima menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di UTHM. - UTUSAN ONLINE