Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, MAHA 2018 bakal menjadi satu himpunan usahawan wanita dari seluruh negara.

Katanya, konsep Segalanya Wanita itu turut dibawa dalam siri jelajah Road to MAHA yang akan diadakan di tiga lokasi iaitu di Lundu, Sarawak (24-25 Mac), Teluk Intan, Perak (31 Mac-1 April) dan Kemaman, Terengganu (5-7 April).

“Program Road to MAHA di Kemaman akan diadakan bersama Karnival Usahawanita 2018 yang menjadi medan untuk ratusan usahawan wanita mempamer dan menjual segala produk terbaik mereka. Selain itu, pengunjung berpeluang berkongsi ilmu dan tip daripada usahawan yang berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu menurut Ahmad Shabery, pihaknya berharap golo­ngan wa­nita me­rebut pe­luang yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah kemente­riannya agar mat­­lamat Tahun Memperkasa­ Wanita dapat di­rea­­lisasikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini meng­isytiharkan 2018 sebagai Tahun Mem­perkasa Wani­ta dan ini­siatif yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah sebagai menyahut seruan murni tersebut.

“Kita percaya salah satu aspek memperkasa wanita ia­lah dengan memberikan ke­­­­upayaan ekonomi kepada me­­reka agar dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan kehidupan.

“Sektor pertanian se­me­mang­nya menyediakan pelbagai ruang untuk sesiapa sahaja meningkatkan taraf hidup dan pendapatan menerusi keusahawanan terma­suklah bidang tanaman, ter­na­kan, perikanan, industri asas tani, makanan dan kulinari,” katanya.

Tabung Ekonomi Kumpulan Usa­ha Niaga (TEKUN) Na­sional telah me­ngumumkan bahawa separuh da­­ripada RM500 juta dana tahun ini diperuntukkan kepada usa­hawan wanita untuk membantu mereka memula atau mengembangkan perniagaan.

Pada tahun la­­­­­lu, TEKUN Nasional telah membiayai sejumlah 18,320 usahawan wanita atau separuh daripada peruntukan dana berjumlah RM380 juta, manakala satu lagi agensi pembiayaan iaitu Agrobank pula memberi pembiayaan sebanyak RM340 juta kepada 11,400 usahawan ­wanita.