Terbaharu di daerah ini, seorang penjaga stor terpaksa berputih mata apabila wang di dalam akaun banknya berjumlah RM58,000 lesap ditipu sindiket yang semakin bermaharajalela itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian itu bermula apabila mangsa yang berusia 51 tahun dihubungi oleh seorang individu kononnya dari Mahkamah Kuala Terengganu yang menyatakan penjaga stor tersebut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

"Talian itu kemudian disambungkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan mangsa bercakap dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Individu tersebut menyatakan boleh membantu dan meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank bagi membersihkan namanya daripada disabitkan kesalahan yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, setelah memberikan maklumat seperti yang diperlukan individu terbabit, mangsa membuat semakan dan mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM58,000 telah dipindahkan.

"Berasakan dirinya ditipu, penjaga stor itu membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN ONLINE