Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, sepatutnya pihak pendakwaan perlu berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu termasuk meminta pandangan suruhanjaya tersebut dan bukannya bertindak secara sesuka hati.

Menurut beliau, tindakan Mohamad Hanafiah merahsiakan daripada semua pihak menjadi punca timbul banyak persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Kena berbincang dengan pegawai SPRM yang menyiasat, kena hormat mereka. Tak boleh guna kuasa sesuka hati, macam main wayang kulit, banyak sangat berahsia.

“Adakah Mohamad Hanafiah melakukan kajian sebab-sebab pendakwaan tersebut sebelum ini? Ada kesalahan atau tidak pada pendakwaan itu? Sebab itu kena kaji dan bincang dahulu dengan SPRM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mohamad Hanafiah dalam satu kenyataan berpandangan kes rasuah Guang Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon tidak akan berjaya di akhir kes pendakwaan setelah meneliti keterangan-keterangan berdasarkan siasatan.

Jelas Abu Talib, tindakan Mohamad Hanafiah memaklumkan Datuk Masri Mohd. Daud yang juga Pengarah Bahagian Undang-Undang SPRM pada pukul 7.18 pagi kelmarin, seolah-olah beliau tidak percaya dengan kewibawaan suruhanjaya tersebut dalam mengendalikan kes berkaitan rasuah di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu, lebih memeranjatkan apabila Peguam Negara, Tommy Thomas pula hanya dimaklumkan mengenai keputusan nolle prosequi itu pada pukul 9.44 pagi.

“Macam mana saya tak cakap macam main wayang kulit? Selain itu persoalan lain adalah sekiranya keterangan daripada saksi-saksi telah dilemahkan, mungkin saksi lain yang akan datang memberi keterangan yang kukuh. Kena ambil kira juga semua ini,” kata­nya.