Jelas Mukhriz, beliau ketika itu sedang mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang turut berangkat pada istiadat pemakamam Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Menurutnya, beliau juga berada dalam keadaan ‘kalut’ ketika itu kerana upacara bacaan doa akan dimulakan pada bila-bila masa.

“Biasalah orang Kedah ini kadang-kadang kita kalut, (ketika itu) akan mula bacaan doa jadi saya nak cepat tetapi ternampak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah... Jadi saya bersalaman dengan baginda untuk mengucap takziah kemudian saya terus (berlalu).

“Saya tidak sengaja tetapi tak boleh guna alasan tersebutlah kerana sepatutnya memang saya kena berhenti untuk bersalaman (dengan Sultan Johor).

“Apa-apa pun memang kesilapan saya, jadi saya memohon maaf di atas kekhilafan ini dan berharap baginda dapat menerima permohonan maaf saya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Terdahulu, Pejabat Menteri Besar menerusi Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Fisol Jaafar mengeluarkan kenyataan bagi menyembah maklum kepada Sultan Ibrahim bahawa kekhilafan tersebut adalah kealpaan Mukhriz sendiri dan tidak menggambarkan sifat sopan-santun rakyat Kedah.

Dalam kenyataan itu, beliau memaklumkan, Mukhriz juga telah mengutuskan surat kepada Sultan Johor untuk memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan tersebut.

Sementara itu, dalam video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial menunjukkan Mukhriz tidak menghulurkan tangan dan bersalaman dengan Sultan Johor sebaliknya terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim.

Kelakuan tersebut mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak termasuk Pemuda UMNO Johor yang menggesa anak Perdana Menteri itu memohon maaf kepada Sultan Johor.

Malah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkongsi rakaman video yang menunjukkan Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Johor menerusi laman Facebook HRH Crown Prince of Johor. - UTUSAN ONLINE