SPZAS adalah inisiatif LZS bagi meringankan beban kewangan golongan berpendapatan pertengahan yang tidak tergolong dalam asnaf fakir atau miskin.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd. Hashim berkata, terdapat dua jenis permohonan SPZAS yang ditawarkan iaitu sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ia berbentuk sumbangan one off sahaja dan tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang telah dinyatakan di portal LZS. Bagi mereka yang berminat, boleh membuat permohonan secara dalam talian.

“Untuk makluman, permohonan bagi IPT telah dibuka sejak 25 November lalu dan akan ditutup pada 31 Januari ini atau sehingga mencapai had peruntukan yang ditetapkan.

“Sementara itu, bagi sekolah rendah dan menengah, permohonan dibuka bermula 11 Disember lalu dan tutup pada 10 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, jelasnya, LZS menyarankan semua pemohon yang berminat agar mematuhi setiap arahan yang diberikan semasa proses memuat naik permohonan.

Katanya lagi, pemohon perlu terlebih dahulu memuat turun dan mengisi borang pengesahan yang diperlukan sebelum meneruskan proses permohonan.

“Permohonan akan menggunakan nombor kad pengenalan ketua keluarga. Proses pendaftaran melibatkan lima langkah mudah iaitu menyalurkan maklumat diri, maklumat tanggungan (anak-anak), maklumat pendapatan, muat naik kad pengenalan (depan dan belakang) serta borang pengesahan dan perakuan pemohon,” ujarnya.

Beliau menambah, pemohon diingatkan bahawa proses permohonan adalah sekali sahaja untuk setiap nombor kad pengenalan.

Oleh itu, katanya, semua pemohon perlu lebih berhati-hati semasa proses pengisian butiran agar setiap permohonan dapat diproses dengan sempurna serta mengelakkan daripada ditolak. - UTUSAN ONLINE