Tindakan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) memperbahrui lesen penggalian sumber nadir bumi kepada Lynas itu jelas bertentangan dengan perjuangan para pemimpin kerajaan ketika menjadi pembangkang dahulu.

Menurut Presidennya, Datuk Dr. Lau Hoe Chai, sepatutnya pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab menuduh dan menimbulkan pelbagai persepsi buruk terhadap Lynas dahulu perlu meletakkan jawatan.

"Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), siapa yang berjanji jika PH menang, Lynas akan ditutup. Siapa yang beritahu sekiranya kerajaan gagal tutup Lynas, dia sendiri akan bakar kilang?

"Ahli Parlimen DAP, Wong Tack, patut meletakkan jawatan kerana gagal menunaikan janji untuk menutup kilang Lynas. Wong Tack juga mesti letak jawatan dalam DAP kerana tiada integriti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan LPTA melanjutkan lesen operasi Lynas yang sepatutnya tamat pada September tahun ini.

Dalam pada itu, Lau Hoe Chai turut mempersoalkan dasar kerajaan dalam memastikan keselamatan penduduk setempat supaya tidak terkesan dengan masalah radiasi daripada kilang Lynas.

"Lynas perlu mendapatkan persetujuan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu untuk menentukan tapak khusus bagi membina fasiliti pelupusan kekal (PDF) atau membawa bahan buangan nadir bumi keluar dari negara ini dan kemukakan juga persetujuan negara lain untuk menerimanya.

"Tetapi, negara mana yang sanggup menerima bahan buangan nadir bumi yang berbahaya?" soalnya. - UTUSAN ONLINE