Khair Mohamad Yusof
Khair Mohamad Yusof

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, jurang GPN antara pelajar luar bandar dan bandar juga semakin mengecil, iaitu daripada 0.5 pada 2015 kepada 0.47, tahun lalu.

“Pencapaian GPN calon di bandar meningkat sebanyak 0.05 iaitu 4.89 pada 2016 berbanding 4.94 pada 2015. Pencapaian calon di luar bandar juga meningkat sebanyak 0.08 iaitu 5.36 pada 2016 berbanding 5.44 pada 2015.

“Hal ini menunjukkan pe­ningkatan pencapaian calon di luar bandar lebih tinggi berbanding calon di bandar,” katanya dalam sidang akhbar sempena pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2016 di sini, hari ini.

GPN merupakan indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian purata keseluruhan calon di seluruh negara yang mana nilai lebih kecil me­nunjukkan pencapaian lebih baik.

Berhubung calon yang mendapat semua mata pelajaran A+, Khair menjelaskan, jumlahnya adalah 102 orang (1.94 peratus daripada keseluruhan calon), iaitu penurunan daripada 163 calon (2.6 peratus) pada 2015.

Menurutnya, calon yang mendapat semua mata pelajaran A+, A, A- pula adalah seb­anyak 8,647 orang (2.13 peratu­s), iaitu penurunan berbanding 9,721 calon (2.38 peratus) pada tahun sebelumnya.

“Walaupun yang mendapat gred tertinggi itu berkurangan tetapi GPN kita meningkat 0.05. Itu yang signifikan, bermakna prestasi keseluruhan pelajar meningkat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, keputusan pada kali ini memperlihatkan sebanyak 340,698 calon (85.21 peratus) daripada 399,822 yang menduduki sekurang-k­ura­ng­nya enam mata pelajaran teras untuk pertama kali layak dianugerahkan sijil SPM.

“Seramai 873 calon­ berk­e­perlua­n khas (CBK) pula telah menduduki peperiksaan SPM pada 2016 dan daripada jumlah tersebut, seramai 510 calon CBK (58.42 peratus) layak dianu­gerahkan sijil SPM,” katanya.

Daripada 73 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan SPM 2016, jelas Khair, sebanyak 41 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 28 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi empat mata pelajaran tidak berubah.

“Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.32 manakala mata pelajaran Matematik mencatat penurunan tertinggi sebanyak 0.29,” katanya.