Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, menerusi logo baharu itu, usaha mempromosikan TMM 2020 dan sektor pelancongan negara akan dapat dipertingkatkan.

Menurutnya, kementerian turut menjangkakan peningkatan dari segi kemasukan pelancong ke negara ini merangkumi negara-negara berdekatan seperti Singapura, Indonesia dan Thailand serta sederhana jauh seperti China, India dan Jepun selain jarak jauh seperti negara-negara Eropah dan Asia Barat.

“Saya rasa dengan kempen TMM 2020, akan lebih banyak pelancong akan datang. Ada 34 kapal terbang milik syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa juga akan mempromosikan tema TMM 2020 di badan-badan pesawatnya.

“Kita juga ada kerjasama dengan syarikat pengeluar barangan elektrik Jepun, Sharp untuk menyiarkan video promosi TMM 2020 di 126,000 premis menjual televisyennya di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan persiapan akhir Majlis Pelancaran Logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Berhubung majlis pelancaran esok, Mohamaddin menjelaskan, Dr. Mahathir akan turut melancarkan pesawat-pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia, Firefly dan Malindo Air yang dibaluti dengan tema (livery) TMM 2020 di Kompleks Bunga Raya, di sini.

“Setakat ini kita sudah 100 peratus bersedia untuk majlis esok. Sekarang ini kita buat sentuhan-sentuhan terakhir untuk memastikan majlis esok berjalan lancar,” katanya. - UTUSAN ONLINE