Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penglibatan tersebut adalah bagi memberi pendedahan awal dan menjayakan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam industri pertahanan dan pengangkutan negara.

Selain itu katanya, mereka turut terlibat mengendalikan beberapa program berkaitan TN50 termasuk pertemuan dan dialog bersama pemimpin serta agensi khusus untuk membincangkan aspirasi dalam kedua-dua industri berkenaan.

“Semua peserta tersebut datang daripada pelbagai latar belakang dan institusi antaranya Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Ini yang kita tekankan pada penganjuran kali ini. Ia merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan serta pihak lain termasuk penganjur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasa Mari­tim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam memastikan agenda TN50 tercapai,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri majlis minum petang di Kapal Diraja (KD) Jebat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Udara, Je­neral Datuk Seri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Ma­ritim Malaysia, Laksamana Ma­ritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab. Kahar.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sebanyak 180,000 pengunjung dijangka hadir me­nyak­sikan LIMA ‘17 dan jumlah ter­sebut menunjukkan peningkatan dalam pelbagai aspek terutama kehadiran penyertaan negara dan aset.

“Industri pertahanan menjadi pemangkin ekonomi yang mengambil masa panjang. Oleh itu, semua negara perlu bersama-sama untuk pastikan semua pihak dapat manfaat daripada­nya,” ujarnya.