Pameran tersebut yang memasuki edisi ke-13 sejak bermula pada 1991, melibatkan sebanyak 512 pempamer dari 36 buah negara yang merupakan peningkatan 11 peratus berbanding LIMA 2013.

Yang hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencetuskan idea penganjuran LIMA 24 tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan beberapa menteri Kabinet turut menghadiri majlis berkenaan.

Sebaik sahaja Perdana Menteri melancarkan LIMA 2015, pesawat-pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) F18, Hawk, MB339, SU30-MKM, helikopter EC725 dan pesawat pengangkut baharu, A400M melakukan lintas udara.

LIMA 2015 merupakan yang terbesar pernah diadakan dengan me­libatkan lebih banyak kementerian.

Selain Kementerian Pertahanan, turut terlibat Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri serta Pejabat Menteri Besar Kedah.

Selain pameran statik di MIEC dan segmen maritim di Resorts World Langkawi, turut diadakan pertunjukan udara dan bot maritim pada setiap hari.

Pertunjukan udara akan melibatkan pasukan aerobatik Krisakti TUDM, Singapura, August 1 dari China dan juga Al Fursan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Penyertaan sebanyak 16 kapal tentera laut dari 12 buah negara juga dijangka menambah tarikan 2015.

Ini termasuk kapal tercanggih di rantau ini, RSS Stalwart milik Singapura, kapal pembinasa Admiral Pantelev dari Rusia dan USS Shiloh milik Amerika Syarikat.