Antara jenis pesawat terlibat pada pameran edisi ke-13 ini adalah Gripen milik Tentera Udara Diraja Thailand, MiG-29N Fulcrum milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pilatus, Piaggio P180 Avanti dan Beechcraft King Air 350i.

LIMA 2015 juga mendapat penyertaan daripada 512 syarikat aeroangkasa dan maritim dari 36 negara, antaranya Airbus Helicopters, Boeing, Sikorsky, Agusta Westland, Bell Helicopters, MD Helicopters dan Russian Helicopters.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pesawat dan pame­ran di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) sudah bersedia untuk menyambut kedatangan pengunjung dan pedagang dalam industri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan pameran uda­ra dan maritim ketiga ter­­besar di dunia itu esok.

Para pengunjung pasti tidak sabar untuk menyaksikan persembahan aerobatik daripada pasukan ternama melibatkan August 1 dari China, Al Fursan (Emiriyah Arab Bersatu), Black Knights (Singapura) dan Kriss Sakti (Malaysia).

Pelbagai formasi menarik sudah pasti akan dipamerkan di ruang udara Pulau Langkawi biarpun tanpa kehadiran pasukan dari Indonesia, Jupiter Aerobatic Team yang terpaksa menarik diri selepas pesawatnya terlibat nahas, semalam.