Ini dicapai menerusi pertambahan sebanyak 121 peratus nilai kontrak perjanjian sepanjang acara tersebut berlangsung iaitu RM9.29 bilion berbanding RM4.27 bilion (LIMA 2013).

Jumlah peserta acara dan pengunjung awam merekodkan kira-kira 170,000 orang dengan seramai 39,684 peserta perdagangan selama tiga hari LIMA 2015 iaitu dari 17 hingga 19 Mac.

Kehadiran orang awam pula mencatat seramai 130,000 orang dengan 50,826 pengunjung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) semalam sahaja dan Awana Porto Malai (35,855 orang) dari 17 hingga 20 Mac.

Dalam penganjuran kali ini, sebanyak 113 buah pesawat, empat pasukan aerobatik, 65 buah kapal dan bot serta 512 peserta perdagangan daripada 56 buah negara terlibat menjayakannya.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, secara keseluruhan jumlah itu merekodkan pertambahan memberangsangkan berbanding penganjuran edisi-edisi LIMA sebelum ini.

“Ini sekali gus menunjukkan LIMA diiktiraf sebagai satu platform perniagaan dan pintu masuk kepada ASEAN,” katanya dalam teks yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri di sini, hari ini.

Hishammuddin seterusnya menyifatkan penganjuran LIMA kali ini merupakan yang paling memberi kesan dalam kesemua segmen termasuk pertunjukan udara dan maritim serta pameran statik sejak 25 tahun lalu.

Kata beliau, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan selaras dengan agenda integrasi serantau, LIMA 2015 telah memberi fokus terhadap ASEAN dengan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada 16 Mac lalu.

“Kita juga merekodkan kehadiran 277 delegasi daripada 55 buah negara termasuk 148 delegasi kanan hadir menjayakan LIMA 2015,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang LIMA 2015, turut diadakan tujuh persidangan antaranya Persidangan Meja Bulat Ketua-Ketua Tentera Laut, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN, Persidangan Ketua Udara LIMA, Forum Terbuka Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Forum Perniagaan ASEAN.